Monday, 10 September 2012

ANALISIS WATAK UTAMA CERPEN "CINTAKU HANYA UNTUK-NYA"


Cerpen: Cintaku Hanya Untuk-Nya
Karya: Ahmad Zafran Abd. Mutalib

Watak utama dalam cerpen ini adalah watak Azlan atau ‘aku’ yang bergelar Imam rock. Azlan dalam wataknya sangat berwibawa dan wajar diteladani remaja hari ini. Menerusi watak ‘aku’ yang masih agak muda tetapi ‘tahu’ serba-serbi, penulisnya Ahmad Zafran telah menghantar mesejnya kepada pembaca agar menguasai pelbagai disiplin ilmu sebagai bekalan hidup. Justeru watak Azlan atau ‘aku’ yang sederhana dan warak telah ditampilkannya bukan sahaja pandai mengaji, berzanji, melaungkan azan, menjadi imam, bersilat, mengurut dan mengubat orang, sebaliknya juga digelar “imam rock” kerana menguasai ilmu muzik seperti pandai bermain gitar.
Jalan cerita cerpen ini sangat menarik kerana terdapat unsur cinta. Watak utama Azlan atau ‘aku’ yang menyertai perkhemahan daerahnya di Pantai Blue Lagoon tidak semena-mena telah dicabar oleh kawan-kawannya untuk bersaing merebut hati Anum Nirmala yang menjadi perhatian ramai. Azlan atau ‘Aku’ sesungguhnya tidak berminat namun sebaliknya didekati pula oleh Anum Nirmala yang terhutang budi setelah beberapa kali ‘diselamatkan’ oleh Azlan. Kehebatan Azlan yang mengurut buku lali Anum yang terseliuh dan menawar bisa kala yang menyengat tangannya menyebabkan gadis pujaan ramai itu akhirnya jatuh hati pada Azlan.
Watak Azlan dalam cerpen ini juga sangat berpegang teguh dengan agama dan budaya Melayu. Di samping mengutamakan kefarduan solat, membataskan pergaulan bebas muda-mudi, dan menjauhi fitnah wanita, watak Azlan juga tidak lupa menasihatkan Anum agar menutup auratnya dengan penuh ikhlas kerana Allah. Cerpen ini juga secara simboliknya menegaskan betapa nilai-nilai Melayu dan Islam mesti dipertahankan walau apa jua harganya.

No comments:

Post a Comment