Friday, 21 September 2012

cerpen Cintaku Hanya Untuk-Nya karya Ahmad Zafran Bin Abd Mutalib


USTAZ SYAMSUL masih tekun bersyarah di hadapan kami, menuturkan satu demi satu hujah tentang keadilan Ilahi. Fakhrul yang berada di hadapanku terangguk-angguk menahan mengantuk. Perlahan-lahan kupicit bahu Fakhrul. Kepalanya tertegak kembali.
            “Thanks,” ucapnya perlahan.
            “Ngantuk sangat ke?”
            Ustaz Syamsul yang mengendalikan acara ‘renungan’ malam itu masih lagi sedaya upaya menyerapkan rasa insaf ke dalam hati pendengarnya.
            “Maunya tidak, Tu, cuba kau tengok Si Mus tu, entah ke manalah hanyutnya tu?” Fakhrul menjuihkan bibirnya ke arah Mus yang sudah terlentang di atas lantai, betul-betul di hadapan Ustaz Syamsul yang sedang berucap. Aku cepat-cepat menutup mulutku menahan ketawa.
            “Ha, yang tu, Si Raffi tu, cuba kau tengok,” Raffi yang terangguk-angguk di belakang Badli akhirnya menjatuhkan dahinya ke atas bahu Badli. Terlena.
            Dua pagi. Ah! Barulah selesai acara ‘renungan’. Para peserta yang keluar dari khemah ibadat bergegas menuju ke khemah masing-masing. Aku yang diserang mengantuk, masuk ke khemah dan lena sebaik-baik kepalaku mencecah bantal.
            “Lan, Lan, bangkit Lan, ‘sentri’!” Sayup-sayup kedengaran di telinga, suara menyuruhku bangkit.
            “Lan, Lan, bangkit Lan!”
            Ya Allah, bagai dihempap batu rasanya mataku ini. Empat pagi! Giliran khemah aku pula dikenakan ‘sentri’ , sebagaimana rutinnya di kursus ini, kami akan mengambil giliran selama satu setengah jam utuk mengawasi sekitar kawasan perkhemahan Kem Tunas Nasional.
            “Woi, ada awek kena ‘sentri’lah malam ni.” Badli menepuk-nepuk belakangku tanpa bersebab.
            Dari jauh kelihatan tiga orang gadis sedang berjalan kearah khemah ‘sentri’.
            “Assalamualaikum.” Raffi memberi salam sebaik sahaja ketiga-tiga gadis itu masuk. Cahaya lampu minyak tanah menyerlahkan wajah ketiga-tiga puteri itu.
            “Walaikumsalam,” jawab ketiga-tiga serentak.
            “Adik-adik semua ni kena ‘sentri’ ke malam ni?” Badli bertanya. Sudah gaharu cendana pula.
            “Tak adalah. Kami semua ni saja-saja lalu di bawah khemah ni, nak tengok abang-abang semua bertugas. Manalah tau, kalau-kalau ada yang curi tulang pula.” Badli terduduk akibat ‘pukulan’ yang tidak disangka-sangkakannya. Aku lantas berdiri dan keluar. Geli hatiku melihat sandiwara ulat bulu ini.
            “Woi, Lan kau nak ke mana?” Fakhrul menegurku.
            “Pergi buat air, nanti tension pula kau orang.” Aku meneruskan langkah setelah memberi jawapan.
            “Buat lebih sikit untuk adik-adik kita ni,” pekik Raffi.
            “Tak malu! Aku menggeleng-gelengkan kepala. Tujuan sebenar aku keluar dari khemah adalah untuk menunaikan tahajud.
            Selesai menunaikan tahajud, aku berjalan kearah unggun api untuk menjerang air di atas unggun itu. Dah masak air ni, hatiku berbisik. Aku lantas mencapai cerek yang sudah hitam punggungnya itu, lalu membuat seteko teh susu. Selesai membuat teh susu, aku lantas membawanya ke khemah pengawas. Kelihatan ketiga-tiga gadis itu sudah mulai mesra dengan Fakhrul, Badli dan Raffi.
            “Ha, dah sampai pun air.” Badli lantas menyediakan enam biji cawan. Eh ... mana satu lagi?”
            “Lan, kau pergi ambil cawan kau dalam khemah kita,” Fakhrul menyuruh.
            “Yang tiga ni untuk Cik Anum, Cik Mona dan Cik Alia.” Raffi pula menyampuk.
            “Minumlah.” Badli mempelawa. Cis! Tidak kusangka, gula yang kuberi, ‘biji organik’ yang kalian balas? Tidak apa, sabar itu tinggi hikmahnya.
            “Nanti dulu, sebelum kami minum, kami nak tahu siapa nama abang yang buat air tu?”
            Surr...! Air tersembur keluar dari mulut Raffi, Badli dan Fakhrul.
            “Abang?” Raffi. Badli dan Fakhrul sempat bertanya.
            “Yalah, abang yang kacak ni.” Anum bertanya. Mukaku serta-merta menjadi merah padam.
            “Oh, yang buat air ni? Namanya Imam rock. Kami panggil dia macam tu sebab dia ni serba boleh. Hal-hal dunia, hal-hal akhirat, semuanya dia boleh. Mengaji boleh, azan boleh, berzanji boleh, mengubat orang boleh. Hatta main gitar pun boleh! Pokoknya Imam rock ni boleh dibawa ke tepi ke tengah, dilambung dipijak.”
            Celaka kau Raffi, hatiku menyumpah.
            “Emm, buat air pun boleh, sedap airnya.” Mona yang baru menikmati air teh susu yang kubuat, memuji.
            “Nama betulnya?” Anum menghembus-hembus air teh yang panas, sesekali mengipasnya.
            “Kenapa tidak ditanya kepada yang empunya diri?” Ada nada cemburu pada suara Badli. Anum menjeling ke arahku. Aku tertunduk malu.
            “Nama saya Azlan,” terangku perlahan.
            Bayu ‘Blue Lagoon’ yang bertiup lembut mengusap manja rambutku yang terjuntai menutupi dahi.
            “Saya sebenarnya dah minum tadi.” Anum lantas bangun dan membawakan secawan teh susu kepadaku.
            “Kalau saudara Azlan sudi, ambillah cawan saya ni.” Tindakan Anum benar-benar mengejutkan aku, Raffi, Badli dan Fakhrul lebihlah lagi.
            “Terima Kasih,” balasku sepatah.
            “Eh, waktu ‘sentri’ dah tamat, kami pulang dulu, ye.” Alia bersuara.
            “Assalamualaikum,” ucap Anum.
            “Walaikumsalam,” balas kami dengan suara mendatar.
           
Setelah ketiga-tiga puteri itu berada lebih kurang semester jarak dari kami, Badli meneliti aku dari hujung rambut hingga ke hujung kaki dengan matanya. Raffi pula menurunkan cermin matanya, memandang aku tepat-tepat. Fakhrul menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Imam ... imam, sungguh tak kusangka.” Badli tiba-tiba bersuara.
“Apa bendanya?” Aku berpura-pura jahil. Sekadar ingin tahu apa yang bersarang di kotak fikiran mereka.
“Dalam kilat ada kilau....” Raffi sengaja tidak menghabiskan pepatah itu.
“Dalam kambing ada harimau!” Badli dan Fakhrul menyudahkan pepatah itu dan kemudiannya menggamatkan kedinginan malam dengan tawa yang memanjang.
“Woi, ‘sentri’ yang ada di sana tu, waktu kamu dah tamat. Pergi kejutkan khemah nombor tujuh pula!” Kem Komanden yang berada tidak jauh dari kami menyergah.
Kami berempat segera beredar ke khemah nombor tujuh. Setelah semua ahlinya dikejutkan, kami pulang semula ke khemah.
“Woi Lan, aku nak cabar kau. Kalau kau anak jantan mari kita bertanding!” Raffi menyuarakan keinginannya.
“Bertanding apa?” Aku menepuk-nepuk bantal burukku.
“Siapa dapat memenangi hati Anum.”
“Ah, buang masa.” Aku berdalih. Sebetulnya mataku telah ditawan mengatuk.
“Sah! Dasar pengecut!” ejek Raffi.
:Okey, kalau kau dah minta sangat.” Hatiku terbakar. Nafsu tidurku hangus dalam kemarahan.
“kalau aku menang, kau kena jadi hamba aku selama satu bulan apabila pulang ke asrama nanti.”
“Maksud kau?”
“Kau kena basuh baju aku, basuh kasut aku, kemaskan katil aku, kejutkan aku setiap pagi, dan ... belikan aku surat khabar, teh dan roti canai setiap Ahad dan sabtu.” Astagfirullah, gila ke dia ni?
“Wah, ini sudah bagus, kalau macam tu, aku pun nak bertanding sama!” Badli menyampuk.
“Aku pun!” Fakhrul yang rupa-rupanya belum tidur, juga ingin turut serta.
“Ini lagi bagus, siapa menang dia ada banyak hamba.” Raffi semakin gila.
“Nanti ... nanti, aku nak tanya dua soalan. Pertama, bila tamatnya pertandingan ini dan kedua, apakah syarat-syaratnya?” Badli memusingkan tubuhnya menghadap Raffi.
“Pertandingan ini dikira tamat sejurus selepas Cik Olan bin Borhan, merasmikan penutupan kursus ini dan syaratnya Cuma satu, tidak boleh menceritakan keburukan lawan. bagaimana, setuju?” Raffi bertanya kepada ‘lawan’nya.



“Aku setuju.” Badli memberikan kata putusnya.
“Setuju.” Fakhrul juga turut serta.
“Setuju.” Aku Cuma tidak ingin dipanggil pengecut.
“Jadi.” Penumbuk dilagakan tanda berjuang.


“Skuad! Siap!” Kaki kanan diangkat Sembilan puluh darjah dan kemudiannya diletakkan ke sisi kaki kiri. Bumi ‘Blue Lagoon’ bergegar. Jam tujuh pagi. Setelah peserta kursus selesai solat subuh, kami telah pun berada dalam posisi “sedia” di hadapan Lautan Cina Selatan yang terbentang luas.
            “Hari ini kita akan lari.” Demikian kata kem Komendan.
            “Dari kiri, cepat lari!”
            Lalu terdengarlah sorakan ‘kiri, kanan, kiri, kanan’ di sepanjang larian kami sejauh empat kilometer merentasi hutan dara dan anak-anak bukit.
            “Ya Allah, penatnya!” Terdengar keluhan seorang peserta kursus sebaik-baik sahaja tamat sesi ‘larian’ pagi itu. Aku dengan langkah yang tidak berdaya, berjalan menuju ke khemah memasak.
            “Esok empat belas hari bulan, hari penutup kursus. Amacam, ada apa-apa petanda baik ke tidak?” Fakhrul yang tiba-tiba berada di sebelahku, mencedokkan secawan teh susu buatku.
            “Aku ada, tadi dia minta alamatku.” Raffi yang entah dari mana munculnya memberi jawapan.
            “Itu tidak boleh dijadikan ukuran, alamatku pun dia minta.” Badli pula menceritakan pengalamannya.
            “Aku ada buatkan dia sebuah sajak cinta.” Fakhrul pula bercerita.
            “Apa katanya?” Dahi Raffi berkerut.
            “No komen,” jawab Fakhrul perlahan. Badli dan raffi serentak meledak ketawa.
            “Ha, Imam rock, amacam? Dah dapat ke?” Raffi bertanya.
            Aku hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala. Aku terlalu malu, Raffi, hati kecilku bersuara.
            “Alamatnya kena basuh bajulah apabila balik asrama nanti.” Badli pula mengingatkan. Hai, bodohnya aku terima cabaran mereka.
            Petang itu, sekitar jam 4.30, ketika peserta kursus telah berada di padang, aku mengikat serban dan mengenakan baju Melayuku. Mindaku terarah ke satu matlamat. Asar! Kutunaikan fardu ain yang satu ini lantaran tidak mahu diazab ular dabatul ardh hanya kerana tertinggal satu solat asar.
            Selesai solat, ketika melangkah pulang ke khemah, kelihatan di satu tempat peserta kursus berkerumun. Didorong rasa ingin tahu aku melangkahkan kaki ke sana.
            “Bagaimana?” Tanya Kem Komendan kepada Anum yang terbaring di atas padang ‘Blue Lagoon’.
            “Saya takut!” ujar Anum perlahan, apahal ni? Hatiku berbisik.
            “Kaki Anum terseliuh.” Badli membisikkan ke telingaku.
            “Serius ke?” Aku sekadar ingin tahu.
            “Entahlah, dia sendiri pun takut nak menggerakkan kakinya.” Fakhrul yang berada di sisiku menyambung.
            “Encik Bakri, First Aid kita ke mana?” tanyaku.
            “Dia ke luar cari supply untuk makan tengah hari bersama pengarah belia negeri esok.” Aku mengangguk.
            Suasana sunyi sebentar. Kesakitan jelas terbayang di wajah Anum dari kerutan di dahinya.
            “Siapa ada ikhtiar? Soal urut-mengurut ni saya tak berani. Salah urut, lagi parah jawabnya.” Anak mata Kem Komendan berpindah dari wajah seorang peserta ke wajah peserta yang lain.
            “Saya akan cuba memulihkan kaki Anum.” Aku memutuskan untuk bersuara akhirnya. Ilmu yang tersemat di dada kini sudah tiba waktu untuk diamalkan. Guru silatku, Pak Ibrahim, sentiasa mengingatkan agar ilmu yang diperturunkan kepadaku dipergunakan untuk kebaikan sejagat. Nah! Kini telah tiba masanya.
            “Kalau gagal?” Kem Komendan bertanya.
            “Saya akan tanggung risikonya.” Aku bersuara berani.
            “Berkuak.” Perintah Kem Komendan.
            Laluan untukku dibuka. Pawana petang menarik-narik ekor serbanku. Aku melangkah menghampiri Anum.
            “Di mana sakitnya?” tanyaku, sekadar ingin mendapatkan firasat urat mana yang terseliuh.
            “Pergelangan kaki Anum terasa sakit apabila digerakkan.”
            Jari telunjuk dan jari hantu kurapatkan. Jurus tenaga dalam kubina perlahan.
            “Bismillahirrahmanirrahim...” Perlahan kusentuh pergelangan kaki Anum dengan jari telunjuk dan jari hantuku bergerak mencari urat yang tersimpul. Ha, ini pun dia, di sini! Kuurut perlahan-lahan ‘kawasan’ itu untuk meleraikan urat yang terseliuh.
            “Bagaimana?” tanyaku.
            Anum cuba menggerakkan sedikit ibu jari kakinya. Senyum.
            “Sakitnya dah hilang.” Senyum Anum melebar.
            “Alhamdulillah, saya hanya berusaha.”
            “Beri tepukan.” Tiba-tiba Kem Komendan bersuara. Bumi ‘Blue Lagoon’ bergema. Aku segera mengundurkan diri dari kawasan itu. Kontroversi pula jadinya tindakan aku nanti.
            Masa beredar begitu pantas. Petang berganti senja, senja berganti malam. Dan malam itu, kedinginan bagai mencucuk tulang hitam ini. Bayu yang bertiup sepoi-sepoi bahasa tambah menyamankan tubuh ini.
            Selesai solat isyak, aku turun ke gigi ombak biarpun fasilitator kami melarang tindakanku itu. Aku melempar pandangan jauh-jauh ke tengah lautan. Cahaya kecil dari sampan nelayan bagai melukiskan ketabahan mereka dalam mencari sesuap nasi. Aku sebenarnya menyaksikan pantomime kehidupan dunia hari ini, yang pelakonnya adalah mereka yang berdiri dan berjuang di pentas kehidupan yang nyata, yang hakiki. Terserap keinsafan ke dalam hati. Tertunduk keangkuhanku, terluah kesyukuranku atas kelebihan yang terkurnia ke atas diri yang sekerdil butiran pasir di daerah tepian pantai ini.
            “Assalamualaikum.” Suatu suara yang awalnya kuduga hanyalah panduan desiran sang ombak dan bayu, menyapaku.
            “Assalamualaikum.” Untuk kedua kalinya aku sedar yang menyapaku itu adalah sang adiratna yang menjadi ratu di kursus ini, barangkali di hati setiap peserta lelaki.
            “Waalaikumsalam.” Aku mengutip batu dan sebelum melontarnya ke tengah lautan, ringan bibirku memuntahkan pertanyaan.
            “Bagaimana kaki kau?”
            “Alhamdulillah, lega sedikit rasanya. Terima kasih atas bantuan awak tadi.”
            “Awak perlukan lebih banyak rehat, pulanglah ke khemah,”pujukku. Aku sebenarnya takut berdua-duaan dengan seorang gadis yang bukan muhrimku. Orang yang ketiga searif ingatanku adalah syaitan.
            Anum melangkah perlahan menghampiriku. Aku cuba melangkah untuk menjauhi Anum, tetapi ternyata gagal. Bagai ada kuasa tarikan besi berani yang memaku kedua-dua tapak kakiku ke dasar pantai.
            “Ya Allah! Mengapa ni?” Hatiku berdebar kencang. Anum semakin hampir. “Ya Tuhan, lepaskan aku dari situasi ini!” hatiku berbisik merintih.
            “Azlan.” Lembut namaku diseur. Debaran hatiku kian tidak menentu.
            “Sebetulnya, sejak hari pertama kaki Anum terjejak di sini hati Anum tiba-tiba berdebar, entah mengapa.” Bayu yang bertiup membelai-belai rambut Anum. Keayuannya menyerlahkan.
            “Suatu saat, apabilaa Anum terpandang wajah Azlan. Debaran di hati ini kian bertambah. Sumbang jadinya irama hati ini.” Ya Allah, benarkah aku yang mendengar kata-kata ini?
            “Dan malam ini, kaki Anum bagai ditarik-tarik ke sini, seolah-olah Anum terpanggil ke sini.” Syaitan! Itu suara syaitan! Hatiku berbisik lagi.
            “Azlan, maafkan Anum sekiranya kata-kata Anum tadi membuatkan Azlan bingung, tapi Anum sendiri keliru dengan diri Anum, dengan perasaan hati, bingung!
            “Anum pulang dulu Lan, maafkan Anum sekali lagi kerana mengganggu waktu senangmu.” Anum membelakangi aku dan kemudian melangkah meninggalkan aku yang bertemankan desiran ombak.
            “Hatiku tiba-tiba meronta-ronta untuk memanggil nama Anum, tetapi mindaku melarang. Bersama hati yang tidak tenteram dan fikiran yang penuh kemelut, aku melangkah pulang ke khemah. Raffi dan Badli yang ternyata masih belum tidur, leka bermain catur sedang Fakhrul menjadi penonton setianya.
            “Ke mana tadi?” Badli bertanya, acuh tak acuh.
            Kuhempaskan tubuhku ke atas tikar mengkuang. Diam.
            “Tension tu, kepala dia asyik ingat baju yang bertimbun dalam bilik air asrama. Tau-tau ajelah, balik ni pasti ke bilik membasuh 24 jam.” Raffi tambah menggiatkan. Aku berpusing menghadap kearah lain, pura-pura tidur.
            “Kau ni cakap takburlah Raffi, entah dia yang dapat Anum, ha, bunuh diri kau nanti!” Kata-kata Fakhrul sayup-sayup di telingaku. Sebentar kemudian aku digamit bidadari entah ke mana. Lena.
            “Astaghfirullah!” Tengah malam itu aku terbangkit – fenomena ‘jam biologi’. Aku bersyukur kerana memiliki kebolehan ini. Seperti rutin yang telah terbiasa, aku membentangkan sejadah lantas menunaikan solat tahajud. Tahajudku yang terakhir di tanah ‘Blue Lagoon’ ini.
            Selesai bertahajud aku meratib untuk membuang wajah Anum jauh-jauh daripada mindaku. Menjelang subuh barulah ingatan terhadap Anum mulai pudar. Saiful Azwa, salah seorang peserta kursus yang kukenali masuk ke khemah musolla ini untuk menunaikan solat subuh. Senyum kami menyatu.
            “Dah selesai solat?” Tanya Saiful yang berkulit hitam manis.
            “Belum, saya tunggu seseorang untuk berjemaah,”ujarku.
            Maka bergemalah azan subuh dari mulut Saiful Azwa membelah kedamaian pagi, mengajak peserta yang lain untuk turut sama bersolat. Gagal! Subuh itu aku solat bermakmumkan Saiful Azwa. Selesai solat subuh, aku lantas menukar pakaian untuk senaman di pagi ‘Blue Lagoon’ buat kali yang terakhirnya.
            Sejurus selepas kami menukar pakaian, siren dibunyikan. Anehnya, peserta kem tunas nasional bergegas bangkit lantas menyarungkan tarck suit dan bekejar ke tengah padang ‘Blue Lagoon’. Sedih! Hatiku sedih melihat sikap mereka.
            “Hari ini saya nak kamu semua kemaskan khemah dan selepas itu bersiap sedia dalam barisan untuk menyambut Cik Olan. Kamu semua saya beri dua jam! Setengah jam sebelum pukul Sembilan saya nak kamu telah membersihkan kawasan ini dan kamu semua telah bersiap sedia dalam barisan. Boleh?”
            Tiada jawapan.
            “Tidur semuanya? Boleh tak?”
            “Boleh.” Peserta kursus separuh bertempik.
            “Macam tak makan sebulan. Sekali lagi!”
            Sang camar beterbangan menggila, barangkali kerana terkejut agaknya. Selepas diberi arahan keluar barisan, peserta kursus bagaikan anak ayam kehilangan ibu. Berkeliaran di sana sini. Membersihkan itu dan ini. Menebas semak-samun dan ada yang membuang sampah.
            Suasana tiba-tiba menjadi kecoh. Peserta-peserta kursus bagaikan ditarik-tarik ke satu tempat. Aku yang ketika itu sedang menimbus lubang sampah dengan cangkul terasa malas hendak menjenguk keadaan sehinggalah namaku diseur-seru.
            “Iman! Woi Imam Rock, meh sini!” Terdengar Badli menyeru namaku.
            Aku berpaling kearah suara itu. Puluhan pasang mata menanti. Kuletakkan cangkul ke tanah dan melangkah kearah keributan itu.
            “Tangan Anum disengat kala!” Fasilitator memberitahu.
            “Kotak first aid di tangan Cik Bakri. Dia keluar ambil supply yang dah dipesannya semalam. Tolonglah usahakan ubat Si Anum ni.” Anum yang didudukkan di atas bangku mula mengalirkan air mata, menahan kesakitan disengat.
            “Dapatkan aku sebiji buah asam jawa, belah dua.” Aku berbisik ke telinga Fakhrul. Dia menghilang, kemudian datang kembali bersama sebiji buah asam jawa yang telah dibelah dua di tangannya.
            “Di mana sakitnya?” Aku sekadar ingin menenangkan Anum. Anum menunjukkan lengan kanannya yang membiru disengat kala.
            “Bismillahirrahmanirrahim....” Buat kali keduanya. Wudukku tersepai di tangan seorang perawan bersaksikan puluhan pasang mata. Berbekalkan biji asam jawa, jurus tenaga dalam dan enam ayat pertama surah al-Mariam, aku bertawakal, cuba menarik bias kala ke dalam biji asam jawa. Lima minit berlalu dalam tawakal. Penyerahan keputusan ke tangan Ilahi setelah usaha yang paling maksimum kulakukan.
            “Bagaimana?” tanyaku.
            Senyum terukir di bibir Anum.
            “Alhamdulillah, lega sedikit rasanya.”
            “Tepuk.” Untuk kali keduanya bumi ‘Blue Lagoon’ mengalunkan penghormatan kepadaku.
            “Sudah dua kali Pak Imam kita menyelamatkan Cik Anum. Cik Anum sepatutnya memberi satu hadiah, betul tak semua?”
            “Betul.” Peserta kursus mengiakan.
            “Perlahan sangat, saya tak dengar.”
            “Betul!!!” Ada pula dua tiga orang yang melonjak.
            “Baiklah,” sahut Anum.
            Baiklah? Hatiku mula berdebar. Ah! Waraskah pendengaran aku ni? Anum masuk ke dalam khemah dan kemudian keluar semula dengan sebuah bungkusan kecil hadiah yang dibalut plastik bergambar hati.
            “Terimalah.” Kotak berbalut plastik berpindah tangan.
            “Sempena hari ini 14 haribulan.” Anum berbisik ke telingaku. Ha? Apa maknanya.
            “Okey, pergi buat tugas masing-masing. Kita cuma tinggal satu jam lagi.”
            Peserta kursus mula bersurai, menyambung tugas yang terbengkalai kerana drama sebabak tadi. Aku juga tidak terkecuali.
            “Nampaknya kau menang.” Fakhrul berkata demikian kepadaku.
            “Apa istimewanya 14 haribulan Februari, hari penutupan kursus kita ni?” Kutanyakan kepada Fakhrul yang serba tahu.
            “14 haribulan Februari adalah hari memperingati kekasih, hari valentine kata ‘orang putih’. Dan, hari di mana sahabatku Azlan Alias Imam rock berjaya memenangi hati sang adiratna dewi kencana Anum Nirmala.”
            Aku tidak bereaksi. Tugasan yang terpikul harus kuselesaikan dahulu. Tepat jam lapan setengah pagi aku telah pun menyelesaikan tugasan yang diberi.
            Prittt!!! Bunyi wisel dari Kem Komanden adalah satu arahan supaya berhenti.
            “Masuk baris!” arah Kem Komanden.
            “Psstt, kau dah dapat Anum ke?” Raffi yang berada di belakangku, bertanya perlahan. Kotak hadiah Anum kugenggam kemas.
            “Baris nombor dua, turus keempat, keluar ke depan, buat down support sepuluh kali, sekarang!” Dengan muka merah padam terpaksalah Raffi membayar dendanya kerana bercakap ketika dalam baris.
            Tepat jam Sembilan, sebuah kereta Proton Saga hijau bergerak masuk ke kawasan perkhemahan. Dari perut kereta itu, keluarlah lelaki yang kami tunggu-tunggu, Encik Olan bin Borhan, Pengarah Belia Negeri. Kehadirannya kami sambut dengan nyanyian lagu “Negaraku”, “Belia Negara” dan “Malaysia Berjaya”. Setelah selesai menyanyikan lagu, kesemua anggota belia dikerah masuk ke bawah khemah dan seterusnya mendengar  nasihat dan pesan daripada Encik Olan bin Borhan.
            “Apa isinya?” Raffi yang duduk di belakangku bertanya. Aku Cuma mengangkat bahu, tidak tahu.
            “Eh, bukalah,” gesa Badli pula yang kebetulan duduk di sebelah Raffi.
            Perlahan kuungkaikan balutan hadiah misteri itu. Sebuah rantai kunci berbentuk hati yang tertulis namaku dan nama Anum di atasnya, sudah cukup untuk memberi jawapan pada penantian kami selama ini. Aku menang. Raffi melepaskan keluhan kecewa. Badli menggelengkan kepalanya.
            Masa beredar begitu pantas, di luar kesedaranku, ucapan Cik Olan telah pun sampai ke penghujungnya.
            “Bahawa dengan ini, saya merasmikan penutupan kursus ini, sekian, terima kasih.” Kata-katanya disambut dengan tepukan bergemuruh oleh para peserta kursus.
            “Hai, lega perut aku,” bisik seorang peserta kursus kepada temannya.
            “Perut aku pun dah lapar ni,” sela temannya yang diajaknya lawan berbual itu. Aku hanya tersenyum mendengar celoteh mereka.
            Psst ... psstt! Terdengar satu suara memanggil. Aku menoleh ke belakang. Telah kuduga, Raffi.
            “Kau menang!” Dia menghulurkan sekeping nota kepadaku.
                                                                                             
            Ingin ketemu di tempat semalam.
            Anum

            Hatiku mula berdebar semula. Peserta lain enak-enak menikmati mi goreng yang masih panas dan ayam percik, aku pula kehilangan selera. Tension betul!
            Dua petang, khemah telah diruntuhkan. Pesta telah berakhir. Seorang dua peserta mula memperlihatkan mutiara di hujung kelopak mata. Raffi, Badli, Fakhrul dan peserta yang lain telah pun mengemaskan pakaian. Masing-masing bersalaman antara satu sama lain, sedang kakiku terarah ke tepian pantai, terpanggil!
            Kubiarkan bayu lautan menusap rambutku sepuas-puasnya. Kali terakhir aku menjejakkan kaki ke gigi ombak ini, ingin rasanya aku terjun ke dalam lautan. Tenang. Damai. Hanya bicara sang camar yang sudi menemaniku.
            “Azlan.” Aku berpaling ke arah hadirnya suara itu. Bayu yang bertiup menutupi rambut sang adiratna. Hatiku mengakui, ayu!
            “Astaghfirullahalazim! Ingatan kepada Ilahi sepantas kilat masuk ke dalam mindaku. Pandanganku terlempar kembali ke tengah lautan dam sekali lagi kakiku terpasak ke dasar bumi. Terbelenggu. Sunyi mencuri ruang waktu. Bayu laut yang bertiup lembut, perlahan-lahan menyerapkan kekuatannya kepadaku.
            “Azlan....” Kesunyian terisi apabila namaku disebutnya buat kali yang kedua.
            “Terlalu berat lidah Anum untuk bertanyakan Lan tentang hal ini, tetapi semakin Anum diamkan, semakin ia memakan diri ini.” Pembuka katanya sudah dapat kutangkap ke mana akan terarahnya perbualan ini.
            “Adakah Anum ingin tahu sejauh mana perasaan Azlan terhadap Anum?” Ya Allah, adakah aku yang telah menuturkan kata-kata itu? Meluncur laju pertanyaan itu terlepas daripada tata perbicaraanku, tidak tertapis.
            “Hening!
            “Terlalu berat untuk aku lafazkan, terlalu sukar untuk aku nyatakan, bimbang hatimu tak kesampaian.”
            Sunyi. Anum begitu sabar menanti jawapan.
            “Kalau kau pinta cintaku, maaf telah berpunya. Kalau kau rayu kasihku, maaf sekali lagi, juga telah berpunya.”
            Ada air mata yang mahu merempuh keluar dari sepasang mata Anum yang mula berkaca-kaca.
            “Jadi, di manakah kau letakkan diri ini, Lan?” Ada sendu dalam pertanyaannya.
            “Di suatu tempat bernama sayang, kerana sesungguhnya cintaku hanya untuk-Nya, kasihku untuk Muhammad dan rinduku untuk kedua-dua orang tuaku yang menyanyangi diri ini.” Pipi Anum kemerah-merahan. Senyumannya mula merekah.
            “Sayangku....” Anak mata kami berlaga. Mendung di wajah Anum cerah kembali.
            “Maafkan aku kalau selama ini aku berlaku dingin terhadap keindahan sayang yang cuba kau pamerkan. Bahawasanya aku tidak ingin antara kita tercemar nilai sayangku itu akibat dihinggapi debu-debu kemungkaran. Syaitan itu pintar, Anum. Sedangkan Bahsyar seorang wali Allah, boleh disesatkannya, inikan pula aku yang beriman taqlid, iman yang lebih rapuh daripada ranting yang telah dimakan anai-anai. Tegasnya, aku tidak ingin kita melanggar batas syariat yang telah tergaris hanya kerana sayang.” Dan bersama tamatnya kata-kata itu, aku dan Anum melangkah seiringan ke tengah khalayak.
            “Sepulangnya kau nanti, tudungkanlah rambutmu itu. Tak akan terdaya kau membayar hukuman di akhirat kelak walaupun yang diazab hanya sehelai rambut.”
            Anum menangguk-angguk sedang mataku tertancap kepada Raffi yang tunduk merenung butiran pasir, Badli yang bertopang dagu dan Fakhrul yang merenung jauh.
            “Doakan aku dalan doamu.” Demikian bisikkan terakhir Anum sebelum aku menginjak tangga pertama bas yang akan membawa kami pulang ke destinasi. Bas yang kami naiki perlahan-lahan meninggalkan kawasan tapak perkhemahan.
            Raffi merapatiku dan bertanya, “Berapa baldi baju kau yang tak dibasuh lagi?”

~ TAMAT ~

Monday, 10 September 2012

ANALISIS WATAK UTAMA CERPEN "CINTAKU HANYA UNTUK-NYA"


Cerpen: Cintaku Hanya Untuk-Nya
Karya: Ahmad Zafran Abd. Mutalib

Watak utama dalam cerpen ini adalah watak Azlan atau ‘aku’ yang bergelar Imam rock. Azlan dalam wataknya sangat berwibawa dan wajar diteladani remaja hari ini. Menerusi watak ‘aku’ yang masih agak muda tetapi ‘tahu’ serba-serbi, penulisnya Ahmad Zafran telah menghantar mesejnya kepada pembaca agar menguasai pelbagai disiplin ilmu sebagai bekalan hidup. Justeru watak Azlan atau ‘aku’ yang sederhana dan warak telah ditampilkannya bukan sahaja pandai mengaji, berzanji, melaungkan azan, menjadi imam, bersilat, mengurut dan mengubat orang, sebaliknya juga digelar “imam rock” kerana menguasai ilmu muzik seperti pandai bermain gitar.
Jalan cerita cerpen ini sangat menarik kerana terdapat unsur cinta. Watak utama Azlan atau ‘aku’ yang menyertai perkhemahan daerahnya di Pantai Blue Lagoon tidak semena-mena telah dicabar oleh kawan-kawannya untuk bersaing merebut hati Anum Nirmala yang menjadi perhatian ramai. Azlan atau ‘Aku’ sesungguhnya tidak berminat namun sebaliknya didekati pula oleh Anum Nirmala yang terhutang budi setelah beberapa kali ‘diselamatkan’ oleh Azlan. Kehebatan Azlan yang mengurut buku lali Anum yang terseliuh dan menawar bisa kala yang menyengat tangannya menyebabkan gadis pujaan ramai itu akhirnya jatuh hati pada Azlan.
Watak Azlan dalam cerpen ini juga sangat berpegang teguh dengan agama dan budaya Melayu. Di samping mengutamakan kefarduan solat, membataskan pergaulan bebas muda-mudi, dan menjauhi fitnah wanita, watak Azlan juga tidak lupa menasihatkan Anum agar menutup auratnya dengan penuh ikhlas kerana Allah. Cerpen ini juga secara simboliknya menegaskan betapa nilai-nilai Melayu dan Islam mesti dipertahankan walau apa jua harganya.

Saturday, 21 July 2012

Model Kompetensi Emosi(ECI) dibina oleh Goleman(2002)


Model Kompetensi Kecerdasan Emosi yang dibina oleh Goleman sendiri mengandungi ciri-ciri yang berbeza dengan Model Inventori Kompetensi Emosi dibina dengan kerjasama Boyatzis. Antara ciri perbezaan dalam dua model itu ialah: Goleman menggunakan pengurusan hubungan sebagai kemahiran sosial di bawah kompetensi kecerdasan emosi sosial. Selain itu, modelnya menggunakan anak panah untuk menunjukkan aliran kompetensi sebagai perhubungan antara komponen-komponen aspek personal dengan aspek sosial.
Menurut Goleman, kecerdasan emosi merupakan suatu keupayaan untuk mengenal perasaan sendiri dan orang lain, memotivasikan diri sendiri serta menguruskan emosi dengan baik ketika berhubung dengan orang lain. Definisi yang diberikan oleh Goleman cuba menerangkan kebolehan-kebolehan lain selain daripada kecerdasan akademik yang dianggap sebagai pelengkap kepada kebolehan kognitif yang diukur melalui IQ. Dalam menerangkan konsep kecerdasan emosi, Goleman (2002) membahagikan kecerdasan emosi kepada lima komponen utama iaitu tiga komponen yang pertama berbentuk kompetensi emosi dan dua komponen berbentuk kompetensi sosial. Lima komponen tersebut adalah mengenali emosi diri sendiri, mengatur emosi diri sendiri, memotivasikan diri sendiri,mengenal emosi orang lain dan membina hubungan.

Komponen pertama iaitu mengenali emosi diri sendiri bertujuan agar seseorang itu dapat merasai apakah keadaan emosinya pada waktu itu berupaya untuk membuat keputusan yang rasional, mempunyai penilaian yang realistik serta mempunyai 3 keyakinan diri sendiri yang kukuh.Tiga subkompetensi yang dikenalpasti ialah kesedaran emosi, ketepatan menilai diri sendiri dan keyakinan kendiri. Komponen kedua ialah kebolehan mengatur emosi serta keupayaan menangani kehidupan dan psikologi diri sendiri dengan lebih terkawal. Terdapat enam subkompetensi iaitu kawalan kendiri, amanah, penyesuaian, rajin, amanah, inisiatif dan oreantasi pencapaian .Bagi Goleman, mereka yang cerdas emosinya dapat mengendalikan emosi diri sendiri dan dapat menggiatkan lagi kehidupan dalam mencapai matlamat hidup, lebih berhemah dan dapat mengawal sesuatu keinginan yang mendesak. Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa peraturan emosi diri sendiri yang baik dapat membantu seseorang mengawalperasaan kebimbangan, kemarahan dan dorongan dari melakukan tingkah laku yang tersasar.Disamping itu, ia juga berkeupayaan mengembalikan emosi ke arah yang lebih positif setelah berhadapan dengan sesuatu ujian atau halangan.

Komponen ketiga ialah berkaitan dengan keupayaan untuk menggerakkan dan mendorong diri sendiri untuk bertindak atau disebuts ebagai motivasi. Terdapat empat subkompetensi yang berkaitan iaitu dorongan, pencapaian,komitmen, inisiatif dan optimisme. Individu yang mempunyai emosi yang cerdas berupaya untuk bertindak, mengambil inisiatif dan berusaha ke arah pencapaian matlamat hidup.Kebolehan ini membantu seseorang itu untuk meningkatkan diri ke arah yang lebih maju dan berupaya bangkit dari kegagalan.
Seterusnya, komponen keempat dalam model Goleman ialah empati iaitu keupayaan untuk memahami dan merasai apa yang orang lain rasakan serta dapat mewujudkan hubungan yang baik dengan setiap lapisan masyarakat. Selain itu, kanak -kanak yang berusia dua tahun sudah mula dapat memahami perasaan teman yang sedang menangis. Keupayaan dan kemahiran sedemikian boleh membantu seseorang mewujudkan suasana hubungan yang baik dengan semua orang. Kemahiran ini dapat memberikan panduan kepada seseorang mengenai perbuatan, tutur kata dan perasaan yang akan disusuli kemudian.

Komponen kelima ialah kemahiran sosial iaitu melibatkan pengendalian emosi bagi mewujudkan dan membina hubungan sosial yang baik. Seseorang yang cerdas dikatakan berupaya mengurus dan memahami situasi serta emosi orang lain dengan tepat. Kebolehan ini akan dapat membantu seseorang berinteraksi dengan baik.Disamping itu, kebolehan juga membolehkan seseorang mempengaruhi dan merundingkan masalah dalam menyelesaikan sesuatu konflik. Selain itu, kemahiran sosial juga untuk mengurus perhubungan antara perseorangan melibatkan usaha memahami emosi dan bagaimana untuk menyesuaikannya semasa membina perhubungan dengan orang lain.Terdapat lapan subkompetensi yang mewakili kompetensi ini iaitu pengaruh, komunikasi,pengurusan konflik, kepimpinan, pemangkin perubahan, menjalin ikatan, bersatu,bekerjasama dan keupayaan berkumpulan.

Setelah melalui proses pemantapan dalam kerangka konseptualnya, Goleman merangkumkan beberapa elemen kepada empat dimensi iaitu dua kompetensi emosi atau personal dan dua kompetensi sosial. Keempat-empat dimensiini diperlukan oleh seseorang yang mempunyai kecergasan emosi dan menggunakannyamengikut masa yang sesuai. Empat dimenasi utama yang dikenalpasti adalah kesedarankendiri, pengurusan kendiri, kesedaran sosial dan kemahiran sosial. Dimensi pertama iaitukesedaran kendiri merangkumi pengukuran terhadap kesedaran emosi kendiri, ketepatanpenilaian kendiri dan keyakinan. Seterusnya, dimensi kedua berkaitan dengan pengurusankendiri iaitu mengandungi kawalan kendiri, amanah, berhemah, penyesuaian, orientasipencapaian dan inisiatif. Dimensi ketiga pula berkaitan dengan kesedaran sosial,memasukkan empati, kesedaran organisasi dan orientasi perkhidmatan. Dimensi terakhir ialah kemahiran sosial iaitu kebolehan bekerjasama dan berkumpulan, membantu rakan,kepimpinan, pengaruh, komunikasi, pemangkin perubahan, pengurusan konflik dan menjalinkan hubungan. Secara keseluruhannya, Goleman juga percaya model kecerdasanemosi yang diutarakannya merupakan satu model psikologi yang positif kerana ia dapatmembantu menyelesaikan banyak masalah dalam kehidupan seharian. Model tersebut juga menjanjikan satu agenda sainstifik kerana berupaya mengkaji spektrum mekanisme psikologiyang lebih luas dalam kehidupan, pekerjaan, kekeluargaan dan masyarakat.